Ringkasan Eksekutif

Krisis kesihatan, alam sekitar, ketidakstabilan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup memberikan kesan serius kepada masyarakat. Krisis ini memerlukan adaptasi pengurusan dan perancangan organisasi yang lebih sistematik serta cekap di samping mencipta kejayaan baharu dengan menggantikan strategi lama kepada strategi yang lebih relevan dan mampan. Halatuju baharu Smartgreen PolyCC diharapkan dapat memberi manafaat kepada Jabatan Pendidikan Politeknik dan kolej komuniti serta seluruh warganya . Melalui jaringan strategik tersedia di samping menerokai peluang-peluang baharu bagi memastikan halatuju mampan dapat direalisasikan, Smartgreen PolyCC menekankan keperluan terhadap kualiti hidup dan budaya kerja serta alam sejagat sebagai asas utama demi kemampanan dan keharmonian semua.

Web Smartgreen PolyCC menjadi sumber maklumat atas talian kepada semua warga PolyCC dalam menjalankan aktiviti berkaitan kemampanan. Laman web ini juga bertujuan utntuk mempromosikan SmartGreen PolyCC yang mengandungi pelbagai maklumat berkaitan kemampanan seterusnya dapat memperkasakan budaya hijau.
Blueprint Smart Green PolyCC 2021-2026 (BSGPC) adalah merupakan dokumen rangka tindakan yang mengandungi garis panduan pelaksanaan amalan hijau yang terancang, selaras dengan keperluan pengurusan dan operasi untuk tempoh masa yang ditetapkan. BSGPC disediakan dengan hasrat untuk menjadikan Politeknik dan Kolej Komuniti sebagai sebuah institusi mampan, unggul dan cemerlang di Malaysia.

BSGPC ini dihasilkan berdasarkan rasional dan keperluan berikut:

  1. Menjadi rujukan dan panduan kepada semua Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam halatuju strategik pengurusan mampan.
  2. Memastikan bahawa aspek pembangunan mampan sejajar dengan pengurusan strategik Politeknik dan Kolej Komuniti.
  3. Memantapkan dan menambah baik halatuju pengurusan strategik ke arah mencapai pengiktirafan Politeknik dan Kolej Komuniti mampan.
  4. Meningkatkan keupayaan bagi inovasi dalam pembangunan mampan dan meningkatkan daya saing dalam teknologi hijau di persada antarabangsa.

Terdapat tujuh (7) bidang tumpuan mampan yang diberi keutamaan dalam merangka BSGPC ini. Setiap bidang tumpuan mempunyai objektif yang tersusun diikuti dengan pelan tindakan bagi menjayakan pelaksanaan amalan hijau di politeknik dan juga kolej komuniti. Bagi menjayakan BSGPC ini, Visi, Aspirasi, Objektif Strategik, Pelan Tindakan dan Petunjuk Prestasi Utama dibentuk serta digubal dengan kekuatan yang ada daripada segenap aspek, dan digabung dengan pegangan nilai-nilai bersama yang berkonsepkan keterangkuman (inclusiveness). Walau bagaimanapun, dokumen ini adalah merupakan dokumen yang dinamik yang boleh ditambahbaik pada bila-bila masa mengikut keperluan.

Perancangan yang mantap sahaja tentunya tidak memadai jika tidak disertakan dengan tindakan yang efisyen dan efektif secara berterusan. Pemantauan pencapaian daripada pelan tindakan ini akan dilaksanakan setiap enam (6) bulan untuk memastikan keberkesanan tindakan yang diambil. BSGPC ini secara langsungnya akan menjadi dokumen rujukan tunggal kepada semua aktiviti dan program mampan di setiap Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.